GLOMAC Berhad (Glomac) optimis untuk memastikan keseluruhan kawasan Bandar Saujana Utama seluas kira-kira 485 hektar di Sungai Buloh, Selangor berjaya dibangunkan sepenuhnya dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi.
Ketua Pegawai Operasinya, Zulkifly Garib berkata, sejak kawasan itu mula dimajukan pada 1997, dianggarkan 90 peratus daripadanya kini sudah dibangunkan membabitkan hampir 8,000 kediaman dan komersil.
Menurutnya, ia juga termasuk pembangunan lebih 1,000 unit di Saujana Perdana, kawasan terbaharu diterokai Glomac di bandar terbabit yang mula dimajukan pada 2015.
“Walaupun pembangunan Bandar Saujana Utama bermula antara 1997 dan 1998, kami dapat lihat sekarang masih ada pembangunan, ia tentunya dipengaruhi keluasan 1,200 ekar (485 hektar) yang (kebiasaannya) memakan masa lebih kurang 20 hingga 30 tahun untuk dimajukan sepenuhnya.
“Awalnya, tanah kami (Glomac) tidak seluas sekarang kerana ia dibeli secara berperingkat oleh anak syarikat Glomac, jadi pembangunan juga tidak dirancang serentak seawal 1997.
“Namun, untuk keseluruhan 1,200 ekar (485 hektar) Bandar Saujana Utama yang ada sekarang, hanya sekitar 110 ekar (44 hektar) belum dimajukan dan kami yakin ia dapat dimajukan sepenuhnya menjelang lima atau enam tahun lagi,” katanya.
Sambil menyifatkan sasaran itu dipengaruhi faktor pasaran, Zulkifly bagaimanapun berpendapat lokasi bukan lagi isu untuk Bandar Saujana Utama memandangkan ia semakin diterima pembeli.
Malah katanya, hampir semua unit baik kediaman mahupun komersil habis dijual dalam tempoh singkat selepas setiap fasa dilancarkan.
“Ya, untuk menjayakan sasaran ini, ia tetap juga bergantung kepada kehendak pasaran kerana pasaran yang akan menentukan berapa banyak (unit) yang boleh kami bangunkan.
“Tetapi, saya fikir dari segi kawasan, Bandar Saujana Utama sudah menjadi pilihan lebih-lebih lagi apabila DASH (Lebuhraya Damansara Shah Alam) siap nanti, pertambahan satu lagi akses ini akan meningkatkan permintaan bagi kawasan ini dan sekitarnya.
“Ketika ini pun, unit belum terjual tidak sampai 10 kebanyakannya membabitkan unit tepi (corner lot) mungkin kerana harga lebih tinggi, tetapi ia tentu sangat luas hampir sekali ganda unit tengah (intermediate),” katanya.
Memperincikan pembangunan Saujana Perdana, Zulkifly menjelaskan, terdapat 500 unit lagi bakal dilancarkan di kawasan itu.
“Antara yang disasar dalam tempoh terdekat ialah Mawar Sari iaitu rumah teres dua tingkat berkeluasan 22×75 kaki persegi yang masih dalam proses menunggu kelulusan pihak berkuasa untuk permit jualan.
“Dari segi reka bentuk, ia hampir sama dengan Mayang Sari yang kami lancarkan awal tahun ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.
“Saya fikir beberapa unit yang belum terjual termasuk Mayang Sari bukan suatu masalah kerana kebiasaannya sebaik saja pembangunan kediaman ini selesai nanti, ia sudah habis dijual,” katanya.
Manakala satu lagi kawasan dalam Bandar Saujana Utama, tetapi bukan dalam Saujana Perdana, kata Zulkifly, akan dilancarkan dua tahun lagi yang bakal membawa konsep baharu, lebih moden dan mengikut trend semasa.
“Bandar Saujana Utama kini bukan hanya dilengkapi akses dan kemudahan lengkap seperti sekolah, balai polis, masjid, pasar raya dan sebagainya, malah pemaju lain juga bersama kami membangunkan kejiranan di sekeliling kami.
“Ia secara tidak langsung membuktikan permintaan yang kian meningkat untuk Bandar Saujana Utama,” katanya.
Sources : https://www.hmetro.com.my/PnP/2020/10/628819/bangun-kediaman-moden